MEI 2022

Sidang DUN 17-26 Mei, Tiga Rang Undang-Undang Bakal Dibentang


KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang akan berlangsung pada 17 hingga 26 Mei ini akan menyaksikan tiga Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan.

Speaker DUN, Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, mesyuarat kedua persidangan pertama persidangan itu bakal membentang RUU Pindaan dan Perbekalan Tambahan akan dibentang selama lapan hari. 

Katanya, antara RUU itu ialah RUU Perbekalan Tambahan (2022), akan dibentang Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah. 

Menurutnya, RUU Kod Tanah (Pindaan), 2022 akan dibentang Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. 

“RUU Hutan (Pindaan), 2022 pula akan dibentang Timbalan Premier yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri mesyuarat pra-Persidangan DUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini.

Beliau menjelaskan, bacaan pertama untuk RUU akan diadakan pada 18 Mei ini.

Manakala, bacaan kedua dan ketiga RUU Kod Tanah (Pindaan) 2022 dibentang pada Rabu.

“Bacaan kedua dan ketiga RUU Hutan (Pindaan) 2022, akan dibentang pada Khamis,” tambahnya.

Sebanyak 347 soalan untuk jawapan lisan dan bertulis diterima daripada 41 ADUN. 

Pembentangan usul bagi pemilihan ahli Dewan Negara dan Perbahasan Usul Penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sarawak.

Sesi soal jawab akan diadakan mulai 18 hingga 23 Mei.

Hadir sama, Timbalan Speaker Datuk Idris Buang dan Setiausaha DUN Sarawak Pele Peter Tinggom.

Sumber dari : Jiwa Bakti